PTPTN
Baru Berasaskan Ujrah : Ulasan Saya
Oleh
Zaharuddin
Abd Rahman
sumber : www.zaharuddin.net
Ada
yang bertanya saya berkenaan pengumuman rasmi PTPTN yang mengkhabarkan
pertukaran konsep pinjaman sebelum ini yang berasaskan caj perkhidmatan
(peratusan tertentu disandarkan kepada jumlah pinjaman dan baki setiap bulan)
kepada konsep ujrah.
Konsep
ini telah diluluskan oleh Jawatnkuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam pada 28 Julai 2008.
Atas
dasar itu, saya boleh mengucapkan tahniah kepada PTPTN atas perubahan terbaru
yang dilakukan. Walaupun konsep baru tersebut masih boleh dibincangkan, namun
ia adalah lebih baik berbanding konsep caj perkhidmatan sebelum ini yang tidak
disahkan oleh mana-mana majlis Syariah, selain kejelasan unsur riba dalam
kiraannya.
Apa
yang paling menonjol dalam kiraan terbaru adalah perbezaaan peratusan yang
dikenakan kepada pelajar, dahulu dikenakan 3 % dari jenis kiraan ‘reducing
balance' atau 3 % dari hutang berbaki yang jelas adalah RIBA, ia juga sama
dengan cara kiraan riba oleh bank-bank konvensional.
Dengan
konsep ujrah sekarang, caj telah diturunkan kepada 1 % dan ia
pula bersifat flat dan tidak lagi dikira berdasakan baki
bulanan pinjaman. Secara umumnya, ia jauh lebih murah berbanding cara kiraan
sebelum ini. Menurut statisik perbandingan dari petikan akhbar
berikut (buka halaman 15 ), penurunan adalah sebanyak 47 - 48
%.
UJRAH
Untuk
pengetahuan pembaca, ‘Ujrah' adalah perkataan di dalam bahasa arab yang membawa
erti "upah". Ia mempunyai kaitan dengan istilah ‘Ijarah' iaitu sewa,
kerana ijarah juga ada satu jenis dari upah, iaitu upah atas manfaat yang
diberikan. Contohnya, sewaan rumah, beerti upah atas manfaat rumah yang
disewakan. Ujrah juga boleh diletakkan di atas sesuatu tugas dan kerja, lalu ia
dinamakan ‘gaji' bagi para pekerja tetap di institusi awam dan swasta. Ia
juga boleh tergolong dalam nama ‘komisyen' jika diletakkan kepada sebuah
kontrak wakil (agency)seperti seorang broker tanah yang mengutip
upah atau komisyen atas usahanya menjuakan tanah pemilik. Semua konsep ujarh
dalam setiap kontranya mempunyai tatacara dan syaratnya agar ia dianggap sah
dan halal di sisi syara'.
Justeru,
apakah perbezaaan di antara ‘upah' yang halal dan ‘caj perkhidmatan' yang
haram?
Secara
dasarnya, ia boleh jadi sama dan boleh berbeza bergantung kepada cara dan formula
kira-kiranya. Melihat kepada formula kiraan antara keduanya, Alhamdulillah
terdapat perbezaan tetapi ada yang masih sama.
YANG
BERBEZA
Bagi
konsep ujrah yang terbaru, formula kiraannya adalah :
Upah
= Jumlah pembiayaan diluluskan x kadar upah x tempoh bayaran balik
Contoh,
jika sekiranya pelajar meminjam sebanyak RM21,000, maka kadar upah adalah satu
peratus setahun, UNTUK TEMPOH BAYARAN SEMULA 10 TAHUN, maka jumlah upah
adalah:-
Upah =
RM21,000 x 1% x 10 (tahun)
=
RM 2,100
Maka
jumlah keseluruhan yang akan ditanggung atau perlu dibayar balik oleh pelajar
dalam tempoh 10 tahun adalah : RM21,000 + RM 2,100 = RM23,100
Jumlah
ini jauh lebih kecil berbanding cara kiraan caj perkhidmatan yang akan
menghasilkan jumlah RM25,116 iaitu dengan nilai RM 4,116 jumlah caj
perkhidmatan ribanya.
APA
YANG SAMA DAN SEPATUTNYA BERBEZA JUGA
Walaupun
tahniah diucapkan, pintu kritikan ilmiah, pembaikpulihan dan cadangan tidak
tertutup semestinya, malah ia patut sentiasa digalakkan bagi mengembangkan
kefahaman ilmu muamalat Islam.
Justeru,
sekalipun cara kiraan ini kelihatan murah dan baik, serta TELAH disahkan oleh
Jawatankuasa Fatwa Malaysia, cara kiraan ini tetap tidak berjaya
menembusi piawaian hukum yang diputuskan oleh para ulama antarabangsa. Ini
adalah kerana cara kiraannya masih terdapat yang sama dengan cara kiraan riba
sebelum ini. Iaitu pada sandaran caj upah. Dahulu ia disandarkan
kepada jumlah pinjaman, dalam konsep ujrah terbaru juga
disandarkan kepada jumlah pinjaman.
Sekadar
ingatan kembali, di dalam hukum Islam, pemberi pinjaman sama ada individu,
institusi kewangan swasta atau kerajaan, TIDAK BOLEH mengenakan sebarang caj
kewangan kepada peminjam khususnya dari jenis peratusan yang
disandarkan kepada jumlah pemberian pinjaman. Berubah dengan berubahnya
jumlah pemberian pinjam.
Namun
cara kiraan yang diguna pakai oleh PTPTN 'ujrah' yang baru masih disandarkan
kepada jumlah atau nilai pinjaman yang diberikan. Selain atas dasar kefahaman
nas, para ulama antarabangsa melarangnya untuk mengelakkan caj upah ini menjadi
helah kepada riba (helah ribawiyah) yang asalnya caj tambah kepada
pinjaman kerana tempoh (time value of money). Kerana dari sudut konsep
dan jurus pandangan ekonomi, kedua-dua jenis caj riba dan upah itu adalah sama.
Jalan keluar yang paling kukuh adalah TIDAK MENJADIKAN jumlah
pinjaman sebagai sandaran untuk mengira upah.
Menurut
keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan lain-lain majlis Shariah yang
berautoriti tanpa kepentingan tertentu di mana-mana syarikat dan institusi
kewangan di seluruh dunia, caj yang dibenarkan dikenakan kepada peminjam
hanyalah kos sebenar yang lahir dari urusan pemberian pinjaman
sahaja.Ia tiada kaitan dengan nilai pemberian pinjam.
Cara
kiraan caj atau kos sebenar itu menurut ijtihad ulama antarabangsa adalah
berdasarkan formula berikut[1]:-
Ujrah = Actual
Administrative Expenses During The Year
x 100
Average Asset During The Year
Untuk
mendapatkan average asset during the period berikut formulanya
:
Average
asset = A1 + A2
2
Nota
Keterangan
A 1
: Total asset at beginning of the period
A 2
: Total Asset at the end of the period
Cara
inilah yang juga diiktiraf di Pakistan dan ulamanya, serta diamalkan bagi
sebahagian jenis pinjaman di sana. Cara kiraan ini tidak meletakkan sebarang
ikatan kepada jumlah pinjaman yang diberi. Ia lebih menepati ijtihad majoriti
ulama sedunia.
KESIMPULAN
Apapun,
yang pasti para pelajar Islam kini boleh menarik nafas lega kerana harga yang
lebih murah dan kedua, ia TELAH disahkan oleh sekumpulan ulama Malaysia.
Justeru, tiada lagi sebarang tanggungan spiritual yang harus mereka galas
apabila mengambil pinjaman PTPTN. Saya peribadi, saya mengucapkan tahniah atas
usaha dan kesungguhan untuk melakukan perubahan. Dan bagi Jawatankuasa fatwa
yang meluluskan, kita harapkan ijtihad mereka diterima di sisi Allah, jika
tidak dua pahala, satu pahala masih milik mereka inshaAllah.
Sekian
Zaharuddin
Abd Rahman
16
Sha'ban 1430 H
08
Ogos 2009
[1] Ahmad, A. (1993) Contemporary
Practices of Islamic Financing Techniques. Islamic Research and Training
Institute, Jeddah, Saudi Arabia